Pak turut yang Setia

Saturday, July 4, 2009

Mahu Menjadi Orang Lain?

  • Pernahkah anda dapat mendengar suara hati anda meronta-ronta untuk menjadi orang lain?
  • Malah, seronokkah anda menjadi diri anda sendiri?
Masing-masing punya jawapan dan pendapat sendiri, namun saya rasakan kebanyakkan orang yang layak digelarkan manusia akan sentiasa berasa tidak seronok untuk menjadi dirinya sendiri. Contohnya bukanlah payah, bersepah-sepah, cuma dalam sedar dan tidak sedar sahaja. Cuba jeling ke kiri dan kanan anda, ada tak makhluk tuhan yang kelihatan seperti kewanitaanya terperangkap di dalam badan seorang jantan perkasa. Malah juga jiwa seorang jantan yang terperangkap di dalam badan seorang gadis kampung yang bernama Halimah bt Sofian tapi lebih gemar digelar sebagai Halim sahaja

Apa yang saya sebutkan diatas adalah salah satu contoh ketidakpuasan terhadap diri sendiri, namun mereka ini tergolong dalam golongan khas yang mana melibatkan jiwa dan fizikal. Cuma yang peliknya golongan ini seperti tidak mengambil kesah terhadap pandangan masyarakat terhadap diri mereka. Bukannya apa, saya terdetik untuk berkata sedemikian kerana sebelum ini saya pernah melihat kelibat seorang maknyah yang seperti keliru untuk memilih identiti dirinya. Tidak pasti sama ada dia mahu menjadi lelaki atau perempuan kerana kelihatan dia memakai baju kecil dan berskirt pendek persis mahu pergi ke kelab malam lagaknya. Kalau dilihat dari pandangan atas, rasa nak telan air liur berkali-kali juga, namun setelah memandang betisnya yang seperti traktor pembajak padi yang dipenuhi lumpur, membuat saya ingin muntah sehingga kemudian hari.

Saya rasa ramai di antara pembaca diluar sana kurang bersetuju dengan andaian saya ini. Namun, secara umumnya saya ingin katakan disini bahawa kita semestinya gembira untuk menjadi diri sendiri, namun kegembiraan itu selalunya dibungkus dengan perasaan untuk menjadi orang lain juga. Jikalau tidak, masakan timbulnya ungkapan seperti

"Kalau lah aku ni Alex Ferguson"
"Kalaulah aku ni kaya seperti Bill gates"
"Kalaulah aku ni cantik seperti Cindy Crawford"
"Kalaulah aku ni putih sikit dari Diana Danielle"

Jikalau mahu disenaraikan kesemuannya, saya rasakan sampai esok lusa pun belum tentu habis. Ini jelas menunjukkan diri kita ini dibungkus dengan perasaan untuk menjadi orang lain bukan? Namun dalam senarai-senarai orang kenamaan tersebut, saya rasakan tidak seorang pun akan mengimpikan untuk menjadi George W Bush. Biawak pasir pun barangkali akan memikir dua hingga berbelas-belas kali untuk mengajuk gerak geri Bush.

Bukan setakat itu sahaja, saya rasakan diri manusia juga sering dihantui oleh perasaan meminati hak orang lain. Kalau tidak adanya perasaan seperti ini, sudah lama produk- produk kecantikan pada masa kini akan digunakan dalam upacara pengebumian sahaja. Diri yang kelihatan buruk sedikit berbanding ekzos kereta mampu berubah jikalau menggunakan produk kecantikan yang bersepah-sepah di pasaran. Tidak kira lah iklan produk tersebut menampilkan tokeynya yang kelihatan seperti seorang nenek kebayan yang bewarna warni persis maskot hari kemerdekaan atau pun yang masih muda belia tapi bibirnya merah menyala seperti selepas mengunyah kulit durian.

Pada hakikatnya ia seperti sebuah manifestasi terhadap ketidak puasan diri sendiri. Malah perihal ini juga merangkumi ilmu pengetahuan, perasaan, dan berbagai lagi. Rasa ini selalunya adalah lanjutan dari keluhan diri terhadap kebahagiaan yang dikecapi orang lain. Kita sering berkata "Kalaulah aku punya kereta seperti itu", "Amboi cantiknya bini dia" walaupun pada hakikatnya bini orang itu persis seekor burung kakak tua. Seribu satu monolog sering terpacul dari mulut makhluk yang bergelar manusia ini . Malah yang lebih leceh lagi, ada dikalangan kita sering mempersoalkan perkara yang kecil sahaja, Contohnya seperti "Kalaulah aku punya masa tidur yang lebih lama dan lena darinya" dan berbagai bagai lagi.

Hebat atau tidak pengaruh ini sama-sama lah kita perhatikan dunia pada masa kini. Lambakan katak dan kambing yang berhempas pulas untuk menjadi mawi ataupun siti nurhaliza sememangnya sudah bersepah. Saya bukannya mahu memberi tanggapan negatif, cuma mahu mengingatkan sahaja. Impian untuk "menjadi orang lain ini" juga punya perspektif yang positif. Namun ia seharusnya diselangi dengan pepatah "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga"

Tidak salah punya impian, dan juga tidak salah kita punya perangai seperti mat jenin. Tetapi setiap impian yang diimpikan itu seharusnya disusuli dengan usaha dan pengorbanan. Membayangkan dunia tanpa keinginan-keinginan itu samalah seperti cakerawala yang tidak berbintang, lelaki yang tidak berbini, dan juga ketiak yang tidak berbau masam.

Bayangkanlah kita bangun dipagi hari tanpa memikirkan untuk menjadi orang lain, dan bayangkan juga kita tidak berasa kagum setelah melihat iklan yang menampilkan seorang miskin yang berjaya menjadi kaya hanya kerana menjual penapis air sahaja. Selambakah anda jikalau setiap hari anda menunggang motosikal dicelah celah kereta-kereta mahal berulang-ulang kali tanpa sebarang reaksi, tanpa rasa iri hati atau tanpa rasa nak meronta-ronta disitu juga?

Memang benar, kalau difikirkan secara mendalam, situasi-situasi "tidak menghiraukan orang lain" ini membuka ruang kepada kehidupan yang lebih teratur aman dan damai. Semua orang akan pasrah terhadap kehidupan seadanya. Pak Ngah leman tidak akan menghiraukan kemilauan hijau kereta proton exora baru Pak mat. Timah Jongang tidak memberi reaksi terhadap perutnya yang kelihatan seperti kulit buah kundur yang berlapis-lapis dan Datin maznah tidak mengambil kira terhadap seribu kedut yang menjadikan wajahnya kelihatan seperti bunga tayar kereta sorong Pak mat.

Namun, bermaksudkah hidup ini jikalau aman sebegitu rupa? Jikalau jawapannya "ya" , teringin pula saya bertanya soalan cepu emas kepada anda. Agak-agaknya ada bezakah kehidupan kita berbanding beruk, zirafah, lipan pasir, kuda laut, tenuk dan sebagainya. Bukankah binatang tidak punya impian untuk menjadi orang/binatang lain?

Jadi, kalau ada dikalangan adik beradik anda, kawan anda, kekasih anda, pak menakan atau bapak mertua kita sering berkobar-kobar untuk menjadi orang lain, redhakanlah. Bukannya apa, bagi saya lebih baik mereka punya naluri untuk menjadi orang lain, kerana itu bukanlah satu kesalahan yang besar. Ia akan menjadi satu kesalahan yang amat sangat jika seorang manusia itu berusaha atau punya impian untuk menjadi seekor binatang tidak kiralah mamalia,reptilia, vetebrata ataupun invertebrata. Maka fikir-fikirkanlah......

3 comments:

  1. ade yg kite x nmpak dalam diri kite...mungkin apa yg kite x nmpk tu la y org laen dengki2 kan n may be org laen pulak nk jd diri kite...

    ReplyDelete
  2. itu dah jadi satu keistimewaan diri kita yang kita tak sedari

    ReplyDelete
  3. nie cam baca motivasi dr fazilah kamsah ja..

    kesimpulannya...
    x kisah la hangpa nk jadi pa pon...
    katak ka..kura2..penyu laut ka..
    yg penting jgn langgaq hukum tuhan...
    kalu xdak perasaan nk jdi org len pon x bleh gak..
    kalu camtu smpai bila kita nk maju..
    tpi brpijaklah di bumi yg nyata..
    tidak akan ada kesenangan jika tidak dimulakan dengan kesusahan....

    selamat beramal...

    ReplyDelete